Monday, August 8, 2011

Pasar Ramadhan




Sibuknya di Pasar Ramadhan....

- Posted using BlogPress from my iPhone

Location:Cherang Ruku,Malaysia

Friday, August 5, 2011

Puasa

Sama-sama kita mengingatkan akan niat-niat dalam berpuasa...









- Posted using BlogPress from my iPhone

Location:Cherang Ruku,Malaysia

Wednesday, July 13, 2011

Thursday, May 21, 2009

Petua???

Jan 2009: 3 Petua Mujarab al-Qur'an PDF Cetak E-mail

Bagi sebahagian orang, perkara yang membuatkan Islam menjadi menarik ialah kewujudan sekian-sekian petua untuk pelbagai tujuan dan manfaat. Ada petua melariskan jualan kedai, ada petua lulus peperiksaan, ada petua menambat kekasih, ada petua mencantikkan wajah dan pelbagai lagi.

Akan tetapi di sebalik petua-petua itu, tidak tersembunyi bahawa kedai runcit Ah Cong lebih laris jualannya, Rajeswari mendapat keputusan paling cemerlang dalam peperiksaan sekolahnya, pasangan Mat Salleh berumur lebih lapan puluh tahun kelihatan begitu romantik melawat Tasik Kenyir dan gadis yang muncul dari pendalaman hutan Sarawak kelihatan paling anggun di antara semua. Mereka semua ini tidak pernah mengamalkan apa-apa petua yang ditiup-tiupkan oleh tokoh-tokoh agamawan mereka.

Mungkin terasa sinis, tetapi merupakan satu arus mutakhir bahawa petua-petua semakin mengambil tempat ilmu, iman dan taqwa dalam hati umat Islam. Al-Qur’an tidak lagi dijadikan kitab panduan hidup tetapi kitab mencari petua menjayakan hidup. Tidak berlebihan jika dikatakan, kebanyakan petua yang diwar-warkan, yang dicuba-cubakan, tidak membawa hasil yang diinginkan. Akhirnya pengamal petua mula ragu terhadap “kepetuaan” al-Qur’an sehingga mula menyisihkan kitab suci itu ke tepi.

Sebenarnya terdapat petua untuk menjadikan al-Qur’an sebagai petua. Kesilapan tidak terletak pada al-Qur’an tetapi terletak pada orang yang menjadikan al-Qur’an sebagai petua. Ada pilihan, langkah dan tertib yang tidak betul. Justeru pada peluang ini saya ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian tiga petua mujarab al-Qur’an. Bersedia? Ayuh kita mulakan.

Petua Pertama: Keseluruhan al-Qur’an adalah petua yang mujarab.

Keseluruhan al-Qur’an adalah petua yang mujarab kerana keseluruhan al-Qur’an datang daripada Allah. Oleh itu tidak perlu dicari-cari ayat tertentu untuk tujuan tertentu. Lebih penting, tidak boleh mengkhususkan sebahagian ayat di atas sebahagian yang lain. Melakukan sedemikian bererti di dalam al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah, ada di antaranya ayat yang bermanfaat dan yang tidak bermanfaat.

Di kalangan semua manusia, hanya seorang yang berhak melakukan sedemikian, iaitu Rasulullah s.a.w.. Hanya baginda yang berhak mengkhususkan beberapa ayat tertentu untuk tujuan tertentu, seperti Ayat al-Kursi (ayat 255 surah al-Baqarah) untuk pemeliharaan daripada gangguan syaitan. Ini kerana pengkhususan yang dilakukan oleh baginda tidak lain bersumber dari wahyu Allah jua.

Petua Kedua: Kemujaraban al-Qur’an terletak pada ajarannya.

Kemujaraban atau kekuasaan al-Qur’an tidak terletak pada ayat-ayatnya tetapi pada ajarannya yang dipraktikkan oleh seseorang. Sekadar membaca, meniup dan menggantungkan ayat tidak akan membawa manfaat jika ajaran ayat itu sendiri tidak dipraktikkan.

Sebagai contoh, ramai yang menjadikan ayat 31 surah ‘Ali Imran sebagai petua menambat kasih sayang di antara suami isteri. Ayat yang dimaksudkan adalah: Katakanlah: “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Pengajaran sebenar ayat di atas adalah, jika kita mengasihi Allah hendaklah kita menterjemahkannya kepada mengikuti sunnah Rasulullah. Ini kerana perkataan “daku” merujuk kepada Rasulullah. Oleh itu jika hendak menjaga kasih sayang di antara suami isteri, hendaklah dicontohi sunnah Rasulullah dalam kehidupan berumahtangga. Tidak ada manfaat jika pasangan suami isteri saling tiup meniup ayat di atas padahal masing-masing tidak melaksanakan kewajipan terhadap pasangannya dalam kehidupan berumahtangga.

Petua Ketiga: Jangan Melakukan Apa Yang Bertentangan Dengan al-Qur’an.

Tidak ada manfaat jika seseorang menjadikan al-Qur’an sebagai petua jika diri sendiri menyalahi petua tersebut. Sebagai contoh, tidak ada manfaat saling tiup meniup ayat 31 surah ‘Ali Imran jika kedua-dua suami isteri saling berlaku curang terhadap pasangan masing-masing. Tidak ada keuntungan menggantung Ayat Seribu Dinar (ayat 2-3 surah al-Talaq) dalam kedai untuk melariskan jualan jika tuan kedai itu sendiri tidak bertaqwa kepada Allah dalam urusan jual-belinya. Oleh itu hendaklah bertindak selari dengan ajaran al-Qur’an. Bukan sekadar beberapa ayat tertentu tetapi kepada keseluruhan al-Qur’an sekadar yang mampu.

Demikianlah tiga petua mujarab al-Qur’an yang saya maksud. Ia bukanlah ayat tertentu yang dibaca dan ditiup dengan kaedah tertentu. Rasanya tak perlu saya ingatkan para pembaca sekalian bahawa umat Islam yang mencapai kegemilangan dalam sejarah Islam tidak pernah memiliki petua-petua tertentu dari sekian-sekian tokoh dan agamawan. Sebaliknya mereka menjadikan keseluruhan al-Qur’an sebagai petua dengan cara mempraktikkan ajarannya serta menjauhi apa yang bertentangan dengan ajaran tersebut.

Tidak pernah tercatit dalam kitab-kitab sejarah Islam bahawa apabila umat Islam menghadapi musuh, mereka meniup-niup ke arah musuh itu. Sebaliknya mereka mengangkat pedang dan segera menghadapi musuh. Apabila umat Islam menjadi peniaga, mereka tidak memaparkan Ayat Seribu Dinar di kedai mereka. Sebaliknya mereka memaparkan akhlak yang jujur lagi mulia dalam berinteraksi dengan pengunjung kedai. Apabila umat Islam menghadapi sesuatu cabaran, mereka tidak mencari petua untuk melepasinya. Sebaliknya mereka mencari ilmu yang dapat mengatasi cabaran itu.

rujukan:

hafizfirdaus.com

Monday, April 13, 2009

Nawal Nazurah - 2 bulan



Dah sebulan lebih aku tak update. Sibuk... Biasa la, bapak baru kan... Anak aku Nawal Nazurah pun dah nak masuk 2 bulan umurnya. Alhamdulillah.... kesihatannya cukup baik. Badan gemuk. Ish... nak ikut saiz bapak ke ni... Tapi tak cantiklah nanti kalau anak pompuan ikut saiz bapak. Anak laki lain la. Badan mesti tough. Baru sama dengan bapak. Emm... bapak tough ke?? Hehhehee... sendiri fikir la...

Tuesday, February 17, 2009

1TB


Hari ini, aku dengan ditemani nenek aku pergi melawat Nazurah di hospital. Kesian melihatnya pakai penutup mata. Terkapai-kapai di bawah sinaran cahaya lampu ungu. Aku mengambilnya dan sempat mengambil beberapa keping gambar yang akan ditunjukkan pada isteri aku nanti.

Oh ya, isteri aku tak ikut sama kerana beliau tak berapa selesa untuk berjalan. Mungkin petang nanti aku akan bawa dia bersama. Alah, setakat tinggal IC untuk ambik wheelchair tu, apa salahnya...
Tak sempat lama aku membelai si kecil ni, nurse datang. Memaklumkan untuk mengambil si kecil untuk ujian lanjut. Berkemungkinan ada sedikit 'penyakit kuning'. Jika benar, darahnya akan diambil setiap 3 hari untuk ujian. Umm... melihatkan tangan si kecil sekarang, ada 3 lubang jarum bekas dari diambil darah sebelum ini. Tambah lagi 3 jarum??
Untuk Nawal Nazurah, ayah dan ibumu doakan kau selamat...
Insya Allah...

Monday, February 16, 2009

Nawal Nazurah


Alhamdulillah... pada tarikh ini, 16/02/09, pada jam 1255 pagi tadi, aku telah dihadiahkan dengan seorang puteri yangmana aku dan isteri sepakat untuk menamakannya Nawal Nazurah.

Nawal yang bermaksud HADIAH, Nazurah yang bermaksud PEMIMPIN.

Melihat kepada proses kelahirannya membuatkan aku lebih menghargai susah payah seorang ibu mengandungkan dan melahirkan.

Kehadirannya adalah satu hadiah yang amat bermakna bagi aku dan isteri aku walaupun pada masa ini, kami tidak dapat memeluk si kecil ini kerana dia terpaksa ditahan di dalam wad 1TB selama 48 jam kerana didapati sel darah putihnya lebih sedikit dari sel darah merahnya.

Semoga dia akan menjadi pemimpin, bukan saja untuk adik-adiknya, tetapi bagi semua orang, jika diperlukan satu hari kelak... Insya Allah...

Thursday, September 4, 2008

Fenomena Ramadhan

"Fenomena pembaziran yang berlaku dan berleluasa pada setiap kali menyambut Ramadhan merupakan sesuatu yang amat menyedihkan. Sepatutnya bulan Ramadhan mendidik umat Islam berjimat cermat. Akan tetapi yang berlaku ialah sebaliknya apabila masyarakat Malaysia sanggup berbelanja besar dengan beraneka juadah makanan ketika tibanya waktu untuk berbuka puasa.


Sesuatu yang amat menghairankan juga apabila melihat sesetengah orang yang ketika berpuasa kelihatan amat lesu dan tidak bermaya, namun apabila tiba sahaja waktu petang untuk membeli juadah, badan yang lesu tadi sudah menjadi cergas dan kuat. Lantas, pelbagai juadah dibeli sehingga melebihi keperluan yang sepatutnya. Mereka membeli juadah bukan lagi mengikut keperluan, tetapi mengikut nafsu!. Mereka seolah-olahnya ingin meng'qada' sarapan pagi, makan tengahari, dan makan petang yang ditinggalkan ketika berpuasa, lalu berlakulah pembaziran yang banyak. Terdapat dalam kalangan masyarakat Islam yang menjadikan waktu berbuka tidak ubah seperti suasana ‘pesta makan’. Masyarakat seolah-olah berusaha untuk mengubah bulan puasa kepada 'bulan makan'! Sikap yang lebih pentingkan pesta menjamu selera pada bulan ini menyebabkan kesucian Ramadan sebagai bulan ibadat itu tidak dapat dihayati dengan sempurna.

Sebenarnya ajaran Islam tidak pernah melarang umatnya untuk membeli makanan. Cuma ajaran Islam mengajar kita supaya berbelanja secara bersederhana setiap masa, termasuk sewaktu berbuka puasa. Kita sebenarnya bukan 'hidup untuk makan', tetapi 'makan untuk hidup'. Apabila konsep 'hidup untuk makan' dijadikan pegangan, keadaan ini menyebabkan berlakunya kelalaian hingga melampaui batas berbelanja. Tidak cukup dengan juadah yang dimasak di rumah, dibeli lagi makanan di bazar dan pasar Ramadan secara yang berlebihan.


Sesuatu yang perlu disedari bahawa tabiat pembaziran yang berlaku dalam bulan Ramadhan menyebabkan puasa yang dilakukan menjadi sia-sia kerana tidak mencapai ketakwaan sebagaimana yang diharapkan. Masyarakat Islam di Malaysia perlu sedar bahawa puasa adalah ibadat yang memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi, sahsiah dan akhlak hingga mencapai tahap takwa kepada Allah. Antara ciri insan bertakwa ialah mereka yang berjaya mengawal nafsu makan. Sehubungan itu, umat Islam hendaklah menghindari amalan menjadikan Ramadan bulan untuk berpesta makan dan membeli-belah secara berlebihan.


Pembaziran merupakan satu sifat yang dilarang keras di dalam Islam. Justeru, Allah mengumpamakan orang yang membazir itu ibarat saudara kepada syaitan. Firman Allah bermaksud : “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya.” (Surah al-Isra', ayat 27). Sayyid Qutb di dalam tafsirnya 'Fi Zilal al-Quran' menjelaskan bahawa Ibnu Mas'ud dan Ibnu Abbas mentafsirkan pembaziran itu ialah berbelanja kepada tempat yang tidak wajar (secara yang tidak diharuskan oleh Allah). Oleh itu, berbelanja secara berlebihan ketika membeli makanan juga merupakan suatu tindakan yang tidak wajar dan membazir. Oleh yang demikian, apakah kita sanggup menjadi ‘saudara’ kepada syaitan dengan melakukan pembaziran di bulan Ramadhan yang mulia ini??!


dari www.ustazshauqi.blogspot.com

Tuesday, September 2, 2008

Beginikah kita??

"Dua tetamu sedang berjalan di hadapan anda yang sedang menunggu di pintu rumah. Seorang yang lebih mulia berjalan di hadapan sementara yang seorang lagi berjalan di belakang. Siapa yang patut di alu-alukan dahulu? Tentu yang di hadapan. Bukan sahaja kerana kemuliaannya tetapi kerana dia berada di hadapan. Tentu kurang beradab jika mengalu-alukan tetamu yang di belakang tetapi indah tak indah dengan yang di hadapan...

Begitulah kita selalunya. Puasa baru bermula, sudah sibuk nak raya. Puasa baru sehari dua, lagu-lagu Selamat Hari Raya dah berkumandang. Kad ucapan Hari Raya dah bertimbun. Ada yang dah sibuk menbeli belah. Nampak sangat gopohnya kita nak raya dan seolah-olah berkata kepada Ramadhan yang mulia... cepat-cepatlah pergi!

Ghairah nak kan kuih sedap, ada ibu bapa yang sanggup minta anak berbuka puasa untuk merasa kuih masakannya. Ada yang berbuka lepas azan Zohor akibat lelah selepas mengacau dodol. Saf-saf sembahyang terawih kian susut. Lailatul Qadar dah dimeriahkan dengan pelita api, bukan pelita hati. Roh Ramadhan dilayukan dengan semangat raya.

Orang-orang soleh dahulu sayu apabila Ramadhan berlalu. Hati mereka merintih, bagaimana dengan puasa yang telah dipersembahkan kepada Allah? Puasa sekadar lapar dahaga? Sedangkan hati, akal, nafsu masih bermaharajalela? Mereka mula bimbang, kerana sebaik Syawal menjelang, musuh ketat yang dirantai dibebaskan semula. Syaitan mula beroperasi semula. Kalau semasa Ramadhan, melawan nafsupun tewas, apalagi bila nafsu dan syaitan bekerjasama. Lalu mereka pun berdukacita.

Namun bila takbir raya bergema, mereka menangis hiba. Syukur berpadu sayu. Syukur, kerana Allah masih izinkan mereka menyambut hari kemenangan walaupun merasa gagal berpuasa dalam ertikata yang sebenarnya. Ya, mereka malu kepada Allah kerana menerima kurnia yang tidak layak mereka terima. Mereka terasa bagaikan anak nakal yang diberi hadiah oleh ibu bapanya.

Itu orang-orang soleh. Kita bagaimana? Sudah tahu gagal berpuasapun tetapi beraya macam menang. Sebab itu bila merayakan Hari Raya makin jelas ' kekalahan-kekalahan' kita. Orang bersyukur dengan sembahyang, kita menyanyi. Pendedahan aurat, pergaulan bebas dan macam-macam kemungkaran berlaku atas nama Hari Raya. Nikmat Allah kita kufuri. Lalu Hari Raya, menjadi hari melahirkan 'kekufuran' (kederhakaan). Hakikatnya, arus nafsu hanya diempang sepanjang Ramadhan, untuk dialir selaju-lajunya di Hari Raya.

Aduh! Kalau begini, selamatkah kita di Hari Raya? Ya, 'hari' raya dah tentu selamat tetapi 'orang' raya belum tentu selamat. Bukan saja selamat tak accident dalam perjalanan pergi dan balik ke kampung dunia tetapi selamatkah kita di kampung Akhirat? Justeru selamatnya kita di sana, ada kaitannya dengan cara kita berpuasa dan menyambut Hari Raya di sini. Di sanalah (Akhirat) hakikat Hari Raya yang sebenarnya.


dari www.al-futhuhat.blogspot.com